Seorang pelajar semester ke-5 Diploma Pengajian Islam dengan Pendidikan di Pusat Pembelajaran Shah Alam, Munzir Uzair bin Shamsul Bahar, telah berjaya merangkul gelaran Naib Johan Hafazan 1-30 Juzuk (Lelaki) di Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 2025.
Majlis ini, yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 4 hingga 7 Februari lalu, telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Kejayaan Munzir, 23, seorang guru tahfiz di Maahad Tahfiz Darul Hafidzin, Klang, amat mengagumkan. Menurut beliau, “Kami mendapat latihan intensif daripada Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS), iaitu sebuah agensi di bawah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj atau lebih dikenali sebagai Masjid Negeri Selangor.
“Selama 5 bulan, kelas yang disediakan merangkumi hafazan, tafsir, fasohah, tajwid, taranum dan Ayat Mutasyabihat. Setiap kelas mempunyai kerja rumah dari pensyarah. Selain itu, saya juga membuat persediaan dengan bangun seawal jam 4 pagi, solat tahajud, mengulang hafazan dalam solat tahajud, serta mengkhatamkan ulang kaji 30 Juz sebanyak 10 kali sebelum majlis bermula. Saya turut menjaga pemakanan dengan mengelakkan makanan pedas dan ringan serta sentiasa meminta doa daripada ibu, keluarga, guru-guru dan anak-anak murid. Saya juga banyak bertalaqqi dengan guru-guru.”
Apakah yang perlu dicapai untuk memenangi pertandingan sebegini? Jawab Munzir, “Antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah hafazan yang lancar, tajwid yang cantik dan kemas, gaya bacaan serta suara, taranum, persembahan bacaan dan fasohah (suara/tempat berhenti dan sambung).”
Pihak universiti amat berbangga dengan pencapaian Munzir. “Syabas kepada saudara Munzir! Semoga beliau akan terus mencipta kejayaan di dalam bidang tilawah, dan seterusnya melangkah ke peringkat kebangsaan,” kata Presiden/Naib Canselor OUM, Prof Dr Ahmad Izanee Awang.
Munzir telah memasuki OUM pada September 2023. Katanya, “Saya memilih OUM kerana yuran yang berpatutan dan sesi pengajaran yang fleksibel serta membolehkan saya belajar sambil bekerja. Saya mampu bayar yuran sendiri tanpa mengharapkan bantuan keluarga.
“Tambahan lagi, walaupun OUM sebuah universiti digital, stafnya dari setinggi-tinggi jawatan sehinggalah ke peringkat bawahan semuanya mesra. OUM juga memberi sokongan dan mengambil berat terhadap para pelajarnya.”
Untuk rekod, Munzir pernah mewakili OUM di Ihtifal IPT Peringkat Kebangsaan di UNITEN dan mendapat tempat ke-4 bagi kategori Hafazan 1-30 Juz. Selain itu, beliau juga telah menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi di UnisZA Gong Badak, Kuala Terengganu, di mana OUM menyumbangkan kos penginapan dan pengangkutan.
“Masa mula-mula bertanding, saya mengalami pelbagai emosi yang tidak terkawal seperti gementar di atas pentas, takut ketika membaca, dan segan berhadapan dengan pesaing yang hebat. Tetapi lama-kelamaan, perasan itu dapat dikawal dengan tip daripada mentor-mentor saya.
“Saya gembira dapat mengharumkan nama OUM dalam pertandingan ini. InsyaAllah, saya akan cuba membawa nama OUM ke peringkat yg lebih tinggi.”
Pencapaian Munzir membuktikan bahawa usaha gigih dan semangat yang tinggi mampu membawa kejayaan. Semoga beliau menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk melakukan yang terbaik dalam bidang yang diminati.


