Impian 20 Tahun Akhirnya Tercapai
Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi merupakan salah seorang graduan sulung program PhD (Sastera) OUM. Berusia 50 tahun, beliau merupakan Setiausaha Politik di Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Di Majlis Konvokesyen Khas yang berlangsung pada 19-21 Februari, Datuk Dr Budiman telah memberikan ucapan sebagai wakil graduan pada sidang pertama. Berikut petikan dari ucapan beliau.
Kembara untuk menyiapkan Doktor Falsafah ini merupakan perjalanan kasar yang menzahirkan seribu satu makna. Jerit perihnya, Tuhan sahaja yang tahu.
Saya bergelut dengan masa, tanggungjawab sebagai ahli politik, menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen serentak, dan tidak terkecuali berperanan sebagai ketua keluarga. Semua ini menuntut pengorbanan yang sangat tinggi.
Tentu anda semua tertanya-tanya, “Apa lagi yang mahu kamu kejar, wahai Budiman? Dalam usia yang muda, kamu sudah diberikan peluang untuk menjadi Ahli Parlimen, malah sebagai ADUN lagi. Peluang dan ruang yang kamu miliki ini tidak mampu digapai ramai orang di luar sana.”
Realitinya, hidup ini bersangkut-paut dengan impian dan cita-cita semasa kita semua di bangku sekolah. Saya bermula dengan keputusan yang tidak memuaskan di peringkat SPM. Berbekalkan sijil itu, saya berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di Politeknik Kota Bharu, Kelantan.
Hati ketika itu mencemburui rakan-rakan yang lebih awal lagi melangkah kaki ke universiti di peringkat ijazah. Namun perasaan itu mampu saya tangani dengan bijak kerana saya tetap menuju ke arah yang sama. Malah diri ini tetap mahu menjadi lebih baik sehingga saya berjaya memperoleh ijazah sarjana pada tahun 2001.
Tidak ramai yang tahu tentang cita-cita saya menuju ke puncak Doktor Falsafah sebenarnya bermula ketika saya berusia 30 tahun. Kini, pada umur separuh abad baharulah saya berjaya melunaskan impian tersebut.
Datuk Dr Budiman ketika menerima skrol daripada Pro Canselor Tan Sri Azman Hashim.
Perjalanan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Impian tanpa kerja kuat adalah angan-angan Mat Jenin. Impian dan kerja kuat tanpa sistem yang boleh membantu akan melambatkan kita mencapai kejayaan. Saya teringat nasihat Abraham Lincoln dalam respons suratnya kepada seorang mahasiswa undang-undang, “Always bear in mind that your own resolution to succeed is more important than any other one thing.”
OUM berperanan besar membantu orang seperti saya. Saya masih ingat kali pertama saya menyuarakan hasrat melanjutkan pendidikan di OUM dalam bidang Sains Politik. Ketika itu, warga OUM menyambut niat saya dengan besar hati biarpun belum ada pelajar yang melanjutkan program dalam bidang Sains Politik di peringkat PhD di sini. Hari ini, saya merupakan pelajar PhD (Sastera) sulung Sains Politik OUM.
OUM membantu memudahcarakan aturan pentadbiran supaya pembelajaran teratur dan mengikut masa yang ditetapkan. OUM akan tetap saya kenang sebagai pusat yang memandaikan bangsa dan meluhurkan individu.
Pengalaman mengumpul data dengan menemu bual 12 informan bermula dengan Perdana Menteri ketika itu merupakan sesuatu yang sukar dilupakan. Suara lisan yang kemudiannya perlu disalin secara kata demi kata benar-benar melelahkan sehingga saya terlelap beberapa kali dengan fon telinga masih tersangkut. Ini semua mengambil masa yang cukup panjang lagi melemaskan.
Mencuri masa untuk menulis adalah satu lagi kemahiran yang dapat saya perkemaskan. Setiap hari selama dua jam, saya mengajar diri untuk konsisten meneliti proses penyiapan PhD sebelum melaksanakan tugasan hakiki. Namun kalaulah saya diminta untuk melakukannya sekali lagi, saya kurang yakin untuk menyatakan, “Ya”.
Adakalanya perasaan sepi dan bisikan putus asa itu datang mengganggu emosi. Penawarnya, secangkir kopi bersama penyelia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Dr Rozeman Abu Hassan benar-benar mujarab dan amat membantu.
Tanpa tunjuk ajar mereka, tidak mungkin saya mampu menyiapkan pengajian ini. Mereka adalah guru dan mentor yang sentiasa memberikan jalur cahaya pada saat saya sesat serta terkunci menggagau mahu keluar daripada kekeliruan ini.
Saya juga bersyukur masih diberikan peluang untuk menumpang dan menagih doa daripada bonda tercinta, Hajah Fatonah Saimin yang tidak putus-putus bermunajat semoga anaknya ini diberikan ketenangan dan kedamaian bagi meneruskan pengajian ini. Sekalung rasa cinta dan kasih terhadap isteri, Norma Aida Abdullah dan anakanda, Aida Jasmin Kirana yang meredhai pengorbanan masa serta memahami kemustahakan saya ketika menyiapkan pendidikan PhD ini.
Realitinya, terlalu banyak nama yang mahu saya sebut yang telah menyumbang kepada kejayaan ini. Setiap satu pengorbanan mana mungkin dapat saya lupakan. Pesan Buya Hamka, “Kita tidak pernah dapat berkorban begitu besar… bagi mereka yang bersedia mengorbankan segalanya bagi kita” benar-benar menginsafkan saya tentang jasa bakti semua yang membantu saya.
Moga kejayaan ini tidak menjadikan saya sombong dan bangga diri. Inilah yang saya sematkan elok-elok di dalam hati, lebih-lebih ia begitu ditekankan oleh Buya Hamka dalam bukunya Lembaga Budi: “Maksud menuntut ilmu bukanlah semata-mata memperluas ilmu pengetahuan sahaja, melainkan untuk mengabdi kepada masyarakat dan mempertinggi mutu peribadi.” Insya-Allah.
Oleh Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi