Suara Pelajar: Menemukan Cahaya Ilmu dalam Kegelapan

Saya berhijrah dari Sabah ke Semenanjung pada usia yang sangat muda untuk mencari pekerjaan kerana lahir dalam keluarga yang miskin. Namun, nasib tidak menyebelahi saya apabila satu peristiwa malang telah mengakibatkan saya dijatuhkan hukuman Tahanan Limpah Sultan.

Kesilapan pada usia 14 tahun ini memberi kesan yang sangat mendalam kepada saya dan keluarga. Hukuman ini tiada tarikh bebas, saya umpama digantung tidak bertali. Saya sering bertanya adakah pengakhiran saya hanya di dalam penjara. Keluarga saya sangat kecewa dan sedih kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa anak lelaki yang menjadi tulang belakang keluarga telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman.

Saya memeluk Islam pada tahun 2002 dan membuat keputusan meneruskan pengajian. Perlahan-lahan saya menerima hakikat bahawa kehidupan perlu diteruskan dan saya perlu bangkit. Saya ingin memperbaiki diri melalui pendidikan.

Pada ketika itu saya buta huruf, jadi saya perlu bermula dari bawah iaitu belajar menulis, membaca dan mengira. Saya tekun belajar sehingga berpeluang menduduki peperiksaan SPM dan STPM pada tahun 2006 dan 2007. Menjadi pelajar di penjara bukanlah sesuatu yang mudah. Kami tertakluk kepada peraturan yang ketat demi keselamatan semua. Namun Jabatan Penjara Malaysia sentiasa memberi bantuan yang diperlukan bagi pelajar seperti kami meneruskan pengajian.

Saya bayar yuran peperiksaan menggunakan duit zakat yang diberikan kepada saya sebagai seorang mualaf. Selepas STPM, saya membuat permohonan kepada OUM kerana pada ketika itu ia satu-satunya universiti yang menerima banduan sebagai pelajar.

Sepanjang 18 tahun bergelar pelajar, pelbagai pandangan telah dilontarkan oleh penghuni lain kepada saya. Ada yang berkata: “Belajar tinggi-tinggi pun tak guna, tak akan dapat kerja”, “Buat apa nak belajar, kau tidak akan bebas”, “Tak payah belajarlah, banduan tetap banduan”, “Kau belajar tinggi mana pun tidak ada orang akan pandang”, dan macam-macam lagi. Namun ia tidak sekali-kali melunturkan semangat saya.

Masih ada yang menyokong dengan memberitahu: “Aku banggalah dengan kau”, “Kau teruskan usaha kau”, “Kau buktikan dengan orang yang hina dan caci ko belajar”, dan “Jangan risau, Allah bersama dengan kau”.

Realitinya ramai penghuni penjara yang berminat un­tuk sambung belajar, tetapi terpaksa memendam hasrat akibat kekangan kewangan. Saya bersyukur dengan peluang yang telah diberikan kepada saya.

Antara pengalaman paling istimewa yang telah saya lalui semasa menjadi pelajar dalam penjara adalah apabila pihak OUM dan Jabatan Penjara Malaysia memilih saya sebagai tokoh pelajar cemerlang pada tahun 2019. Saya bersyukur kepada Allah SWT dan bangga menjadi banduan pertama yang berjaya mengikuti pengajian PhD dalam penjara di Malaysia.

Pada 11 Disember 2024, saya diberikan watikah pembebasan oleh DYMM Sultan Selangor. Saya gembira dapat kembali ke pangkuan keluarga tetapi pada masa yang sama sedih kerana akan meninggalkan tempat yang mengajar saya erti kehidupan dan memberikan saya pendidikan.

Saya mendapat banyak pengajaran di penjara. Pertama, hargai nilai kebebasan kerana harganya sangat tinggi. Kedua, tuntutlah ilmu kerana dengan ilmu yang hina akan dipandang mulia. Ketiga, tidak ada yang mustahil seandainya anda berusaha untuk mendapatkannya. Keempat, kita perlu hidup bermatlamat kerana hidup tanpa matlamat umpama kapal belayar tanpa tujuan.

Menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, dan ucapan terima kasih kepada Lembaga Pengampunan Selangor, individu yang telah menaja pengajian sarjana saya, Jabatan Penjara Malaysia, dan khususnya OUM.

Sepanjang 16 tahun belajar di OUM, saya bukan sahaja diberikan sokongan moral, nasihat, ilmu dan motivasi tetapi juga tajaan biasiswa bagi pengajian ijazah sarjana muda dan PhD. Terima kasih, OUM!

Harapan saya adalah agar dapat berbakti kepada masyarakat dan menjadi contoh teladan kepada pelajar di luar sana. Saya berazam untuk mengeluarkan keluarga saya dari kepompong kemiskinan dan sekaligus menyatukan keluarga yang telah lama terpisah.

Contact Us

Menara OUM,
Block C, Kompleks Kelana Centre Point,
Jalan SS7/19, Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya, Selangor
Malaysia

+603-7801 1800 (General Line)
+603-7801 2000 (Speed Line)
+6012-303 9935 / +6019-357 9074
admission@oum.edu.my
(Enquiries for New Intake & Registration Only)