Sekalung Tahniah untuk Kakitangan OUM!
Pada Majlis Konvokesyen Khas yang diadakan pada pertengahan Februari lepas, pihak Universiti berbangga dengan pencapaian kakitangan OUM yang berjaya menamatkan program pengajian mereka. Berikut adalah coretan pahit manis yang mereka kongsikan.
Razif bersama isteri beliau, Bismil Azian.
Saya menyambung pelajaran dalam program Sarjana Muda Reka Bentuk Media Digital pada 2015 dan tamat pada 2019. Di antara cabaran yang dihadapi adalah masa, dimana saya perlu bijak membahagikan masa di antara kerjaya dan belajar.
Namun, mod pembelajaran OUM iaitu pembelajaran teradun amat memudahkan kerana saya boleh belajar pada bila-bila masa dan dimana-mana sahaja secara dalam talian. Saya ingin merakam jutaan terima kasih kepada OUM kerana memberi peluang kepada saya untuk menyambung pengajian dan menyediakan bahan pembelajaran yang berkualiti. Terima kasih juga kepada keluarga dan rakan-rakan, terutama isteri yang banyak memberi sokongan kepada saya.
Mohd Razif Masri, 40
Sarjana Muda Reka Bentuk Media Digital
Pereka Bentuk Media Kanan, Pemasaran Kumpulan
Syariza Isahak.
Menjadi seorang pelajar semula setelah 16 tahun meninggalkan zaman belajar bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila sudah berkeluarga dan mempunyai pelbagai komitmen yang harus dipikul. Sejujurnya hasrat menyambung pengajian telah lama disimpan namun tidak menemui universiti yang menawarkan fleksibiliti seperti yang diinginkan.
Hanya pada September 2016, OUM telah menawarkan ambilan pertama program Sarjana Komunikasi Korporat dan kerana minat dan semangat yang masih berkobar, maka niat diteruskan demi mencapai cita-cita. Cabaran ambilan pertama tidak mudah seperti yang disangka. Pelbagai pengalaman ditempuh terutama ketika program melalui lawatan akreditasi yang pertama dan akhirnya menerima akreditasi penuh pada 2018.
Segala pahit manis akhirnya terbalas apabila diraikan pada majlis konvokesyen baru-baru ini. Justeru, ucapan terima kasih kepada ibu, abah, suami, anak-anak dan sahabat yang tidak lekang memberi sokongan dan tidak dilupakan kepada penyelia, Dr Mohd Nazri Mohd Noor, yang banyak memberi tunjuk ajar.
Unjuran pelajar yang mengikuti program ini juga makin meningkat dan diharapkan ia membantu para pelajar mencapai cita-cita serta dapat mendominasi pembelajaran sepanjang hayat. Secara peribadi, menjadi pengembara ketika belajar adalah sesuatu yang berharga dan kekal sebagai satu detik indah yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.
Syariza Isahak, 44
Sarjana Komunikasi Korporat
Penolong Pengurus, Pusat Pembelajaran Bangi
Shaiful (dua dari kiri) bersama rakan-rakannya di majlis konvokesyen.
Bekerja sebagai juru video selama lebih kurang 10 tahun di OUM telah banyak mengajar saya dari pelbagai aspek yang tidak mungkin saya perolehi dari tempat lain. Majikan juga sentiasa menasihati kami agar sentiasa cuba dan belajar sesuatu yang baharu.
Bertitik tolak dari situ, niat untuk sambung belajar timbul sejurus saya mendapati OUM menyediakan peluang bagi staf untuk melanjutkan pelajaran dengan tajaan penuh buat kali pertama. Tambahan pula ada rakan sekerja yang turut teruja untuk mendaftar bersama menjadi punca saya kembali ke alam pendidikan.
Belajar di OUM adalah salah satu pengalaman yang tidak dapat diganti dengan wang ringgit. Sudah semestinya ada drama dan kisah apabila kita belajar sambil bekerja. Adakala saya rasa penat, dengan kerja hakiki yang banyak, urusan di rumah yang tidak pernah selesai, tugasan yang mencabar dan pelbagai lagi yang membuatkan saya ingin mengalah. Tapi berkat dorongan isteri, Normadiana Mansor, serta beberapa rakan pejabat yang lain, akhirnya saya teruskan juga. Jasa dan budi mereka inilah yang menjadi punca saya dapat menghabiskan pengajian pada awal 2019.
Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat Puan Nurul Fizah selaku pengarah program, para pensyarah, rakan-rakan pelajar dan sekerja, serta keluarga yang banyak berkorban demi saya mendapatkan segulung ijazah. Tidak lupa juga staf Pusat Pembelajaran Kuala Lumpur dan di Menara OUM atas bantuan dan sokongan yang diberikan. Ini bukan pengakhiran, Insya-Allah.
Shaiful Noor Mohd Noor, 42
Sarjana Muda Reka Bentuk Media Digital
Juru Video, Pusat Reka Bentuk Pengajaran & Teknologi
Hassan Salleh.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya saya akhirnya telah menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana walaupun menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran kerana belajar secara separuh masa sambil bekerja. Walau bagaimanapun, saya mendapat sokongan daripada pihak keluarga yang sentiasa memberi semangat yang padu, begitu juga penyelia dan pensyarah yang banyak membantu, menasihat serta memberi tunjuk ajar sehingga saya betul-betul dapat melakukan dengan baik dan sempurna.
Pengajian ini telah memberikan banyak pengalaman luar biasa yang boleh meningkatkan kepercayaan diri, kemampuan menulis, dan keterampilan interpersonal saya. Pelajar di OUM juga mempunyai banyak ruang dan sumber untuk dirujuk bagi menyelesaikan tugasan dan kertas projek. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyelia saya dan pihak pengurusan tertinggi OUM kerana telah memberi peluang kepada saya untuk menyambung pelajaran.
Hassan Salleh, 60
Sarjana Pengurusan Sumber Manusia
Eksekutif Kanan, Pusat Pembelajaran Terengganu
Oleh Izyan Diyana Merzuki